‘Minggu lepas kecoh pasal abang polis ni jumpa cik PONTI..’

Minggu lepas kecoh pasal abang polis ni jumpa cik PONTI..

Ok. Kali ni aku nak share pengalaman seram sorang friend FB aku ni semasa dia dalam perjalanan pulang ke Putrajaya dari Bukit Jalil.

Masa tu dia sedang menunggang motor sendirian di atas jalan raya bila dia didatangi makhluk yang menakutkan.

'Minggu lepas kecoh pasal abang polis ni jumpa cik PONTI..'

Nak tahu cerita ni lebih lanjut, meh teruskan membaca.

Saya nak kongsikan pengalaman seram saya yang berlaku pada tahun 2010. Masa tu, saya bekerja di Bukit Jalil, tapi tinggal di Presint 11, Putrajaya.

Biasanya, saya akan balik dari pejabat pukul 6 petang. Tapi pada hari kejadian seram tu berlaku, saya balik pukul 11 malam.

Ini kerana, ada macam macam kerja yang perlu diselesaikan segera. Kalau lambat siapkan, alamatnya, kena makilah dengan bos.

Jadi, nak tak nak, saya dan kawan kawan lain pun gigihlah siapkan kerja yang telah diarahkan sampai kami semua tak sedar, dah pukul 11 malam.

Kami semua pun bergegas pulang masa tu dan kebanyakan kawan-kawan saya tinggal di kawasan Bukit Jalil je. Saya je yang tinggal jauh, kat Putrajaya.

Jadi, pulanglah saya berseorangan ke Putrajaya dengan menaiki motor EX5 saya.

Kejadian seram ini berlaku semasa saya sudah menghampiri kawasan Putrajaya. Untuk membantu para pembaca mendapat gambaran yang lebih jelas, saya akan beritahu, di mana kawasan kejadian seram ini berlaku.

Jika kalian perasan, bangunan Conezion yang berdekatan dengan IOI Mall di Putrajaya sekarang ni, betul-betul kat jalan depan bangunan Conezion tu lah saya kena ganggu. Cumanya, pada tahun tu, bangunan Conezion tu belum naik lagilah.

Disebabkan dah lewat malam, hanya kenderaan saya yang berada di atas jalan raya. Kenderaan lain memang tak kelihatan langsung.

Sedang saya fokus pada tunggangan saya, tiba-tiba, visor helmet saya dilibas oleh sesuatu. Libasan tu cukup pantas sampai saya tak perasan apa benda tu .

Saya pun tertanya-tanya sendirian, “Apa benda yang libas visor aku ni? Aku langgar kelawar ke? Ke kain lap motor aku dah melayang?”

Pada masa tu juga, saya pandang ke bawah untuk melihat raga motor saya. Bila saya tengok bawah, kain lap motor masih elok je ada dalam raga. Lagipun, saya bukan bawa motor macam orang nak berlumba sampai kain boleh melayang.

Saya pun pandang balik ke depan dan cuba fokus semula kepada tunggangan saya. Tapi, tak lama lepas tu, ada lagi benda yang melibas-libas visor saya.

Kali ni libasannya lebih lama sehinggakan saya dapat lihat benda yang sedang bertubi-tubi melibas visor saya yang datang dari sebelah kiri.

“Kain apa pulak dok libas-libas visor aku ni?” Tanya saya dalam hati.

Masa tu, peluh dingin pun mula keluar membasahi dahi. Jantung saya, tak payah cakaplah, memang berdegup kencang. Bulu roma pun terus meremang.

Mana taknya, macam ada yang tak kena pada kain yang sedang melibas-libas saya tu.

Kain tu seolah-olah kekal berada di sebelah saya untuk melibas-libas visor sedangkan saya dan motor masih bergerak ketika itu.

“Ada benda ke sebelah kiri aku ni?” fikir saya.

Hati saya kuat mengatakan bahawa, memang ada benda yang berada di sebelah saya. Cumanya, saya tak berani nak menoleh ke kiri.

Namun begitu, dari ekor mata saya, saya akhirnya ternampak benda yang sedang melibas-libas visor helmet saya.

Di sebelah kiri saya, sedang terbang, satu makhluk seperti perempuan dengan rambutnya yang panjang mengurai dan pakaiannya macam baju kelawar, tapi dipenuhi dengan tanah. Penuh habis satu pakaiannya dengan tanah.

Tapi, yang buat saya semakin takut tu ialah apabila, makhluk yang sedang terbang sebelah saya ni, dia terbang dalam keadaan sedang berdiri tegak dan seiring dengan kelajuan motosikal saya.

Memang seram weh!

Dalam hati saya, apa yang saya katakan, semua bercampur baur. Kejap saya baca ayat Qursi, kejap saya mencarut. Kejap saya baca surah 3 Qul, kejap saya mencarut.

Saya jadi macam tu sebab saya takut sangat. Saya dah cuba memecut laju, tapi makhluk menakutkan tu masih mampu untuk menyamai kelajuan motor saya.

Saya tak tahu berapa lama dah makhluk menakutkan tu terbang beriringan di sebelah saya. Kalau seminit sekalipun, itulah seminit paling lama bagi saya ketika itu.

Walaupun dilanda ketakutan yang amat sangat, saya masih mampu mengawal motosikal dengan baik.

Cumanya, bila saya melihat cermin sisi belah kanan, saya sekali lagi terkejut.

Saya tak sangka, makhluk yang sedang terbang di sebelah kiri saya datang dengan teman!

Dari cermin sisi belah kanan, saya dapat lihat, ada kepala berupa lelaki dengan rambut yang panjang, sedang cuba mengejar saya.

Ye, kepala lelaki tu sedang terbang dengan kepalanya sahaja tanpa kaki, badan dan tangan.

“Ya Allah! Ujian apa yang Kau bagi pada aku malam-malam ni?” Kata saya dalam hati.

Kepala tu memang laju mengejar saya untuk menyamai kelajuan motor saya yang telah saya percepatkan kerana mahu segera sampai di rumah dan melepaskan diri daripada gangguan ni.

Ketika itu juga, dari ekor mata saya, saya dapat lihat makhluk berupa perempuan di sebelah kiri, masih dalam keadaan bersahaja, terbang mengiringi saya.

Motor saya semakin lama semakin laju. Saya dah tak bimbang dah kalau kemalangan ni. Janji saya dapat tinggalkan dua makhluk yang menakutkan ni.

Kemudian, pada ketika itu, saya terdengar bunyi hon kereta berkali-kali. Saya tak pasti dari mana datangnya bunyi tu sebab saya nak toleh kiri dan kanan pun tak berani, kerana ada dua makhluk menakutkan tu di sisi saya.

Tak lama selepas tu, saya dapati, ada sebuah kereta Proton Wira Aeroback lalu di sebelah saya. Kereta itu tidak memecut dan meninggalkan saya, malah pemandunya membawa kereta mengikut kelajuan motor saya.

Pemandu kereta Proton Wira itu terus menerus menekan hon dan tanpa saya sedari, dua makhluk menakutkan yang mengikut saya sejak tadi, hilang begitu saja.

Kemudian, pemandu kereta Proton Wira tu memberi isyarat kepada saya supaya berhenti sekejap di tepi jalan. Saya pun menurutinya dan berhenti bersama-sama dengan kereta tu.

Sebaik sahaja berhenti, pemandu kereta Proton Wira tu pun keluar dan terus datang kepada saya dengan segera.

“Assalamualaikum bang. Kau ok tak?” Tanya pemandu Proton Wira tu.

“Err… Err… Saya ok bang. Saya ok. Nasib baik bro ada. Kalau tak, entah apa jadi kat saya tadi. Terima kasih bro,” balas saya dengan suara yang terketar-ketar sebab takut.

“Tu lah. Aku nampak dah, dari tadi dua ekor benda tu dok follow kau. Aku risau benda tu boleh buat kau eksiden. Tu aku terus laju kejar kau.”

Saya terkejut bila pemandu tu kata dia boleh nampak dua makhluk menakutkan tu. “Bro boleh nampak ke benda dua ekor tu?”

“Boleh. Jelas sangat. Itu yang aku hon tu. Bukan nak halau benda tu pun, tapi nak bagi kau sedar bang supaya kat tak eksiden,” jelas pemandu Proton Wira tu.

“Yeke? Huih. Terima kasih lah bro. Kalau bro takde tadi, saya rasa, mau tergolek dah saya dalam longkang.”

“Takdehal lah. Ni kau nak balik mana, nak aku ikut belakang ke?”

“Eh, takpelah bro. Saya ok je ni. Rumah pun nak dekat dah ni.”

“Betul ni?”

“Betul bro. Terima kasih sekali lagi ye.”

“Ok, ok. Takdehal. Elok elok bawa motor. Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam.”

Selepas pemandu Proton Wira tu berlalu pergi, saya pun turut bergerak untuk pulang ke rumah. Alhamdulillah, sepanjang perjalanan, dua makhluk tu tak datang balik. Saya berjaya sampai rumah dengan selamat.

Bila terkenang semula kisah ni, memang rasa macam kelakar. Mana taknya, bayangkan, ada hantu, boleh terbang dalam keadaan tegak berdiri dan terbang sama laju dengan kelajuan motor saya.

Tapi bila dah jadi depan mata, benda kelakar pun jadi tak kelakar kalau dah kena sakat macam tu. Rasa nak luruh jantung!

*Cerita ini ditulis dan diolah semula oleh Norizwan Azlan

BACA :

‘Gambar ‘fake’ tak senonoh muka kita tersebar? Ini cara untuk delete terus dari internet’
[VIDEO] Entiti hitam muncul dengan wajah bengis, peneroka gua dirasuk & mata terbeliak
‘Nafsu serakah ni, tak kenal Tanah Suci ke, Tanah Haram ke, sekali dah terjerumus, mata dan hati akan buta’